page kunci locker

Monday, August 20, 2012

kerana e-diary adikku #9

Kehidupan sebenar watak utama dan keluarganya, bukan dalam diari waktu utama...

Selepas selesai kenduri tahlil, rumah kedengaran sedikit sunyi walaupun masih ramai lagi sanak saudara yang masih belum pulang kerana membantu masak dan mengemas apa yang patut. Tubuh yang lemah, layu, dia melangkah perlahan menuju ke arah bilik yang sebelum ini biasa baginya masuk ke dalam bilik itu, kini hatinya sunyi dan sayu melihat bilik tersebut.

Sunyi dan gelap bilik itu membuatkan dia semakin dibuai perasaan sedih, perlahan kakinya melangkah dan duduk di atas katil. Dia meraba-raba bantal, lalu air matanya mengalir. Lalu terlihatnya akan diari kecil, diperhati dan diselami isi diari tersebut.

Dia kemudiannya menguatkan dirinya menulis di atas diari tersebut,

"Assalamualaikum, wahai diari adikku...

Mulai detik ini, akan sunyilah dirimu. Tiada lagi tawa dan duka yang akan dikongsi bersamamu. Hanya kau akan menjadi tatapan setiap insan yang merindui tuanmu...

Wahai teman adikku, kini kau keseorangan, telah pergi jauh adikku meninggalkan kau, meninggalkan kami. Adikku kini telah dipanggil oleh Tuhannya yang merinduinya. Sesungguhnya Tuhannya lebih menyayanginya daripada kami menyayanginya. Kini, aku dan mama tinggal berdua sahaja, berat hati ini untuk menerima pemergian adikku setelah abah pergi meninggalkan kami.

Duhai diari, hanya kaulah tempat kami untuk melepaskan rindu kepada adik kesayanganku, dan kau perlu tahu yang tuanmu kemalangan ketika perjalanan pulang dari sekolah. Tidak sempat aku dan mama melihatnya bernafas buat kali yang terakhir, kita sudah kehilangan...

Diari, sesungguhnya kaulah saksi bahawa adikku seorang insan yang mulia, telah membimbing kami sekeluarga kearah jalan yang benar.. Sesungguhnya hari ini, kau jadilah saksi untukku bahawa aku sangat merindui dan mencintai adikku..

Kini, tiada lagi tulisan dari tangan kecil itu. Tetapi kisah adikku akan ku kongsi bersama semua agar menjadi pengajaran buat semua...

Sekian buat kali terakhirnya,

intan

Maaf Sekiranya Entri Hari Ini Kurang Menarik Dan Maaf Juga Sekiranya Ada Terkasar Bahasa Yang digunakan ^_^